Rabu Oktober 11, 2006 
Ramai wanita terpelajar kahwin lelaki lebih muda 
Oleh SA'ODAH ELIAS
PENDIDIKAN memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah negara. Pendidikan juga boleh mengubah trend dan sosio ekonomi dan budaya sesebuah negara itu.
Perubahan ini akan dapat dilihat lebih jelas di negara yang mana kaum wanitanya bukan sahaja celik huruf, malah ramai diantara mereka berpendidikan tinggi hingga ke tahap universiti.
Malaysia adalah antara negara yang kini melalui perubahan socio-ekonomi dan budaya yang ketara berikutan semakin ramai rakyat wanitanya yang dalam peringkat umur layak berkahwin, memilih untuk mengejar ilmu dan memantapkan kerjaya dan kedudukan ekonomi masing-masing daripada memulakan keluarga sendiri.
Sekumpulan pelajar wanita Islam di sebuah kampus sedang berbuka puasa tahun ini. Apakah mereka akan memilih lelaki yang lebih muda? (foto The Star)
Kajian Mengenai Penduduk dan Keluarga Kebangsaan terakhir yang dibuat dua tahun lalu jelas menunjukkan peningkatan fenomena kahwin lewat di kalangan wanita berpendidikan tinggi.
Pemangku Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Aminah Abdul Rahman berkata, fenomena itu juga telah memaksa semakin ramai wanita berpelajaran tinggi berkahwin dengan lelaki yang bukan sahaja lebih muda daripada mereka, tetapi juga mempunyai tahap pendidikan dan kedudukan ekonomi lebih rendah.
Merujuk kepada kertas kerja yang bertajuk 'Perkahwinan dan Pembentukan Keluarga di Malaysia' oleh Profesor Madya Tey Nai Peng dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya yang dibentangkan pada Seminar Kebangsaan bertemakan "Membina Generasi Masa Depan" baru-baru ini, Aminah berkata:
"Trend wanita berpendidikan tinggi berkahwin lelaki muda yang yang statusnya lebih rendah daripada mereka itu ketara di kalangan mereka yang berkahwin selepas melepasi umur 30 tahun."
Keadaan ini, katanya, berlaku kerana wanita dalam golongan itu sukar mencari pasangan yang setanding dengan mereka dari segi umur, pendidikan dan status ekonomi kerana kebanyakan lelaki yang memenuhi kriteria itu telahpun berkahwin.
Menurut kertas kerja itu lagi, lebih kurang 13% wanita berumur lebih 30 tahun dan berpendidikan tinggi di negara ini masih bujang. Peratusan wanita bujang pada umur lebih 30 tahun ialah 29% bagi masyarakat Cina, disusuli kaum India, 26% dan kaum Melayu sebanyak 16%.
Sekumpulan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) berjalan sewaktu pilihan raya kampus itu bulan lepas. Pilihan hati pula, bagaimana? (foto The Star)
Tiga puluh peratus dariapda wanita yang masih bujang ini memberikan sebab lebih gemar berdikari sebagai alasan memilih untuk terus membujang, diikuti kesukaran mendapatkan pasangan sesuai sebagai alasan kedua tertinggi.
Bagi kaum lelaki yang membujang selepas umur 30 tahun pula, alasannya berbeza.
"Kebanyakan lelaki yang membujang selepas 30 tahun, iaitu 34.5%  menyatakan isu ekonomi sebagai punca mereka tidak berkahwin, iaitu kos untuk berkahwin terlalu mahal. Ini diikuti mereka yang mengatakan tidak dapat mencari pasangan sesuai dan sebab-sebab lain," katanya.
Fenomena itu, kata Aminah, merupakan satu petunjuk mengenai keadaan keseluruhan masyarakat Malaysia yang kini lebih menerima perkahwinan antara wanita lebih tua dan lelaki lebih muda berbanding sebelumnya.
Keadaan ini juga, katanya, telah menyumbang pada penurunan kadar kesuburan masyarakat Malaysia yang jika tidak ditangani dengan baik boleh meninggalkan implikasi besar pada masa depan negara yang kini bersiap sedia untuk memasuki kategori negara maju dalam tempoh 15 tahun lagi.
"Kadar kesuburan sesebuah negara diukur berasaskan jumlah anak yang akan dilahirkan oleh seseorang wanita sepanjang hidupnya. Pada bancian kebangsaan pada 1991, jumlah itu ialah 3.3 orang anak bagi setiap wanita. Kadar itu menurun kepada 2.9 dalam bancian pada 2000 dan ia terus menurun lagi kepada hanya 2.6 pada kajian yang dijalankan dua tahun lalu itu.
"Sepanjang tempoh itu juga umur mula berkahwin bagi wanita juga semakin meningkat daripada 23 kepada 26 tahun sekarang dan ini memendekkan lagi tempoh kesuburan mereka untuk melahirkan anak. 
"Jika fenomena ini berterusan, dalam tempoh antara 15 dan 20 tahun akan datang, kadar pertumbuhan penduduk di negara ini akan sampai ke tahap 2.1 bagi setiap wanita. Ini adalah paras penggantian, iaitu apabila kadar kelahiran bayi hanya cukup untuk mengganti ibu bapa mereka yang semakin berumur," jelasnya.
Aminah berkata, faktor lain menyumbang pada penurunan kadar kelahiran ialah peningkatan kos yang tinggi bagi melahir dan membesarkan anak, menyebabkan semakin ramai wanita merancang dengan teliti kelahiran anak mereka.
Dari segi etnik pula, katanya, kadar kelahiran adalah tinggi sedikit di kalangan masyarakat Melayu, sementara paling rendah di kalangan masyarakat Cina.
Ini, jelasnya, mungkin dipengaruhi oleh demografi penduduk di mana lebih ramai masyarakat China tinggal di kawasan bandar yang mana kos kehidupan lebih tinggi.
Bagi wanita Melayu pula, katanya, kadar anak yang lebih tinggi itu mungkin dipengaruhi faktor budaya di mana wanita muda Melayu mempunyai lebih besar kemungkinan mendapat bantuan dan sokongan membesarkan anak daripada ahli keluarga terdekat. Mereka juga dipengaruhi faktor agama yang menggalakkan wanita Melayu supaya menganggap anak sebagai rezeki.
Aminah berkata, walaupun penurunan kadar kesuburan adalah satu perkembangan yang memang selari di semua negara yang semakin maju, coraknya di negara ini tetap perlu diteliti dengan mendalam bagi memastikan ia memenuhi kehendak Dasar Kependudukan Negara dan keperluan tenaga kerja masa depan negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment