Sunday, October 18, 2009

Kahwin muda 'menular'

Kahwin muda 'menular'
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim

Isu pada Pertandingan Debat Pidato Keterampilan Bahasa

BERKAHWIN pada usia muda yang semakin membudaya dalam kehidupan masyarakat hari ini khususnya bangsa Melayu menjadi topik hangat perdebatan pemidato Pertandingan Debat Pidato Ketrampilan Bahasa dan Komunikasi.

Pertandingan bagi mengisi keperluan kursus Keterampilan Bahasa dan Komunikasi, pelajar tahun satu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, menyaksikan persaingan sengit enam peserta peringkat akhir dengan seorang daripada mereka bukan Melayu.




Peserta pada acara di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM, Bangi, baru-baru ini, mengemukakan baik buruk budaya kahwin muda tanpa menafikan ia antara langkah yang dapat mengelakkan muda-mudi daripada terjerumus ke lembah maksiat.

Juara pidato, Shah Rezan Abdul Salam, mempertahankan pandangan bahawa kahwin muda dapat menyelesaikan masalah sosial dan mengajak masyarakat lebih terbuka dalam mengadili isu berkenaan.

“Sesetengah pihak menganggap kahwin muda sebagai perkahwinan atas dasar nafsu semata-mata, tetapi tidakkah ia lebih baik daripada membiarkan budaya berzina berkembang kepada golongan muda. Tepuk dada, tanya minda, sudah pasti kahwin muda lebih baik daripada berzina setiap hujung minggu,” jelasnya.

Bagi mempertahankan pandangannya itu, beliau turut berhujah gaya hidup remaja masa kini yang tidak lagi bersandar kepada budaya dan adab pergaulan orang timur, pergaulan bebas antara lelaki dan wanita bukan muhrim mengundang maksiat berleluasa, memerlukan pendekatan berkenaan.

“Saya tetap mempertahankan hujah saya ini dan ia isu relevan kerana tiada peraturan atau tuntutan syarak yang mengharam atau menegah seseorang daripada mendirikan rumah tangga pada usia muda,” katanya ketika berhujah.

Pemenang kedua, Pang Yi Chin, pula tidak bersetuju dengan senario perkahwinan muda kerana menganggap golongan remaja yang berusia kurang daripada 20 tahun masih mentah untuk mengharungi alam perkahwinan yang mencabar.

“Usia ini sepatutnya dimanfaatkan bagi menimba ilmu baik di alam persekolahan ataupun di universiti kerana kajian menunjukkan kewajaran berkahwin bagi lelaki ialah pada usia 25 hingga 28 tahun, manakala wanita pula antara 23 hingga 25 tahun,” katanya.

Kajian jelas menunjukkan bahawa kahwin awal tidak digalakkan sama sekali kerana pemikiran pasangan muda masih mentah dan belum mengenali dunia, selain generasi muda perlu memahami bahawa tanggungjawab suami isteri bukan suatu permainan.

“Berkahwin muda tidak sewajarnya membudaya dalam masyarakat kerana hasrat kerajaan untuk membentuk masyarakat berilmu, mungkin tidak akan tercapai jika masih ada remaja yang tercicir daripada alam persekolahan dan bergantung hidup semata-mata kepada perkahwinan,” jelasnya yang fasih berbahasa Melayu.

Pengadil pertandingan, Che Abdullah Che Ya, berpendapat budaya berkahwin muda menjadi budaya masyarakat masa kini kerana kebimbangan ibu bapa terhadap gejala sosial sehingga mendorong mereka merelakan anak berkahwin pada usia muda daripada terjerumus ke dalam lembah maksiat.

“Budaya ini sama seperti zaman pramerdeka, apabila zaman bujang ditamatkan seawal usia 14 tahun bagi wanita dan 18 tahun bagi lelaki dan perkara lumrah di kalangan semua kaum. Selepas merdeka, anak muda berlumba-lumba memantapkan ekonomi dan pendidikan.

“Lalu berkahwin lewat bukan lagi perkara memalukan, tetapi pada era globalisasi ini, kahwin muda kembali sebagai gaya hidup dan dibuktikan melalui Kajian Hubungan Etnik oleh sekumpulan pelajar tahun dua Universiti Sains Malaysia (USM),” ujarnya.

Kajian itu mendedahkan pergaulan bebas yang semakin berleluasa dikenal pasti sebagai faktor pemangkin kepada budaya kahwin muda dan dianggap sebagai jalan penyelesaian pasangan terlanjur demi menyelamatkan maruah keluarga.

“Kajian itu menunjukkan perkahwinan membabitkan pasangan berusia bawah 20 tahun semakin meningkat khususnya di kalangan orang Melayu,” katanya

No comments:

Post a Comment