Wednesday, October 28, 2009

Ramai wanita terpelajar kahwin lelaki lebih muda

Rabu Oktober 11, 2006
Ramai wanita terpelajar kahwin lelaki lebih muda
Oleh SA'ODAH ELIAS

PENDIDIKAN memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah negara. Pendidikan juga boleh mengubah trend dan sosio ekonomi dan budaya sesebuah negara itu.

Perubahan ini akan dapat dilihat lebih jelas di negara yang mana kaum wanitanya bukan sahaja celik huruf, malah ramai diantara mereka berpendidikan tinggi hingga ke tahap universiti.

Malaysia adalah antara negara yang kini melalui perubahan socio-ekonomi dan budaya yang ketara berikutan semakin ramai rakyat wanitanya yang dalam peringkat umur layak berkahwin, memilih untuk mengejar ilmu dan memantapkan kerjaya dan kedudukan ekonomi masing-masing daripada memulakan keluarga sendiri.


Sekumpulan pelajar wanita Islam di sebuah kampus sedang berbuka puasa tahun ini. Apakah mereka akan memilih lelaki yang lebih muda? (foto The Star)

Kajian Mengenai Penduduk dan Keluarga Kebangsaan terakhir yang dibuat dua tahun lalu jelas menunjukkan peningkatan fenomena kahwin lewat di kalangan wanita berpendidikan tinggi.

Pemangku Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Aminah Abdul Rahman berkata, fenomena itu juga telah memaksa semakin ramai wanita berpelajaran tinggi berkahwin dengan lelaki yang bukan sahaja lebih muda daripada mereka, tetapi juga mempunyai tahap pendidikan dan kedudukan ekonomi lebih rendah.

Merujuk kepada kertas kerja yang bertajuk 'Perkahwinan dan Pembentukan Keluarga di Malaysia' oleh Profesor Madya Tey Nai Peng dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya yang dibentangkan pada Seminar Kebangsaan bertemakan "Membina Generasi Masa Depan" baru-baru ini, Aminah berkata:

"Trend wanita berpendidikan tinggi berkahwin lelaki muda yang yang statusnya lebih rendah daripada mereka itu ketara di kalangan mereka yang berkahwin selepas melepasi umur 30 tahun."

Keadaan ini, katanya, berlaku kerana wanita dalam golongan itu sukar mencari pasangan yang setanding dengan mereka dari segi umur, pendidikan dan status ekonomi kerana kebanyakan lelaki yang memenuhi kriteria itu telahpun berkahwin.

Menurut kertas kerja itu lagi, lebih kurang 13% wanita berumur lebih 30 tahun dan berpendidikan tinggi di negara ini masih bujang. Peratusan wanita bujang pada umur lebih 30 tahun ialah 29% bagi masyarakat Cina, disusuli kaum India, 26% dan kaum Melayu sebanyak 16%.


Sekumpulan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) berjalan sewaktu pilihan raya kampus itu bulan lepas. Pilihan hati pula, bagaimana? (foto The Star)

Tiga puluh peratus dariapda wanita yang masih bujang ini memberikan sebab lebih gemar berdikari sebagai alasan memilih untuk terus membujang, diikuti kesukaran mendapatkan pasangan sesuai sebagai alasan kedua tertinggi.

Bagi kaum lelaki yang membujang selepas umur 30 tahun pula, alasannya berbeza.

"Kebanyakan lelaki yang membujang selepas 30 tahun, iaitu 34.5% menyatakan isu ekonomi sebagai punca mereka tidak berkahwin, iaitu kos untuk berkahwin terlalu mahal. Ini diikuti mereka yang mengatakan tidak dapat mencari pasangan sesuai dan sebab-sebab lain," katanya.

Fenomena itu, kata Aminah, merupakan satu petunjuk mengenai keadaan keseluruhan masyarakat Malaysia yang kini lebih menerima perkahwinan antara wanita lebih tua dan lelaki lebih muda berbanding sebelumnya.

Keadaan ini juga, katanya, telah menyumbang pada penurunan kadar kesuburan masyarakat Malaysia yang jika tidak ditangani dengan baik boleh meninggalkan implikasi besar pada masa depan negara yang kini bersiap sedia untuk memasuki kategori negara maju dalam tempoh 15 tahun lagi.

"Kadar kesuburan sesebuah negara diukur berasaskan jumlah anak yang akan dilahirkan oleh seseorang wanita sepanjang hidupnya. Pada bancian kebangsaan pada 1991, jumlah itu ialah 3.3 orang anak bagi setiap wanita. Kadar itu menurun kepada 2.9 dalam bancian pada 2000 dan ia terus menurun lagi kepada hanya 2.6 pada kajian yang dijalankan dua tahun lalu itu.

"Sepanjang tempoh itu juga umur mula berkahwin bagi wanita juga semakin meningkat daripada 23 kepada 26 tahun sekarang dan ini memendekkan lagi tempoh kesuburan mereka untuk melahirkan anak.

"Jika fenomena ini berterusan, dalam tempoh antara 15 dan 20 tahun akan datang, kadar pertumbuhan penduduk di negara ini akan sampai ke tahap 2.1 bagi setiap wanita. Ini adalah paras penggantian, iaitu apabila kadar kelahiran bayi hanya cukup untuk mengganti ibu bapa mereka yang semakin berumur," jelasnya.

Aminah berkata, faktor lain menyumbang pada penurunan kadar kelahiran ialah peningkatan kos yang tinggi bagi melahir dan membesarkan anak, menyebabkan semakin ramai wanita merancang dengan teliti kelahiran anak mereka.

Dari segi etnik pula, katanya, kadar kelahiran adalah tinggi sedikit di kalangan masyarakat Melayu, sementara paling rendah di kalangan masyarakat Cina.

Ini, jelasnya, mungkin dipengaruhi oleh demografi penduduk di mana lebih ramai masyarakat China tinggal di kawasan bandar yang mana kos kehidupan lebih tinggi.

Bagi wanita Melayu pula, katanya, kadar anak yang lebih tinggi itu mungkin dipengaruhi faktor budaya di mana wanita muda Melayu mempunyai lebih besar kemungkinan mendapat bantuan dan sokongan membesarkan anak daripada ahli keluarga terdekat. Mereka juga dipengaruhi faktor agama yang menggalakkan wanita Melayu supaya menganggap anak sebagai rezeki.

Aminah berkata, walaupun penurunan kadar kesuburan adalah satu perkembangan yang memang selari di semua negara yang semakin maju, coraknya di negara ini tetap perlu diteliti dengan mendalam bagi memastikan ia memenuhi kehendak Dasar Kependudukan Negara dan keperluan tenaga kerja masa depan negara.

Sunday, October 18, 2009

Kahwin muda 'menular'

Kahwin muda 'menular'
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim

Isu pada Pertandingan Debat Pidato Keterampilan Bahasa

BERKAHWIN pada usia muda yang semakin membudaya dalam kehidupan masyarakat hari ini khususnya bangsa Melayu menjadi topik hangat perdebatan pemidato Pertandingan Debat Pidato Ketrampilan Bahasa dan Komunikasi.

Pertandingan bagi mengisi keperluan kursus Keterampilan Bahasa dan Komunikasi, pelajar tahun satu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, menyaksikan persaingan sengit enam peserta peringkat akhir dengan seorang daripada mereka bukan Melayu.




Peserta pada acara di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM, Bangi, baru-baru ini, mengemukakan baik buruk budaya kahwin muda tanpa menafikan ia antara langkah yang dapat mengelakkan muda-mudi daripada terjerumus ke lembah maksiat.

Juara pidato, Shah Rezan Abdul Salam, mempertahankan pandangan bahawa kahwin muda dapat menyelesaikan masalah sosial dan mengajak masyarakat lebih terbuka dalam mengadili isu berkenaan.

“Sesetengah pihak menganggap kahwin muda sebagai perkahwinan atas dasar nafsu semata-mata, tetapi tidakkah ia lebih baik daripada membiarkan budaya berzina berkembang kepada golongan muda. Tepuk dada, tanya minda, sudah pasti kahwin muda lebih baik daripada berzina setiap hujung minggu,” jelasnya.

Bagi mempertahankan pandangannya itu, beliau turut berhujah gaya hidup remaja masa kini yang tidak lagi bersandar kepada budaya dan adab pergaulan orang timur, pergaulan bebas antara lelaki dan wanita bukan muhrim mengundang maksiat berleluasa, memerlukan pendekatan berkenaan.

“Saya tetap mempertahankan hujah saya ini dan ia isu relevan kerana tiada peraturan atau tuntutan syarak yang mengharam atau menegah seseorang daripada mendirikan rumah tangga pada usia muda,” katanya ketika berhujah.

Pemenang kedua, Pang Yi Chin, pula tidak bersetuju dengan senario perkahwinan muda kerana menganggap golongan remaja yang berusia kurang daripada 20 tahun masih mentah untuk mengharungi alam perkahwinan yang mencabar.

“Usia ini sepatutnya dimanfaatkan bagi menimba ilmu baik di alam persekolahan ataupun di universiti kerana kajian menunjukkan kewajaran berkahwin bagi lelaki ialah pada usia 25 hingga 28 tahun, manakala wanita pula antara 23 hingga 25 tahun,” katanya.

Kajian jelas menunjukkan bahawa kahwin awal tidak digalakkan sama sekali kerana pemikiran pasangan muda masih mentah dan belum mengenali dunia, selain generasi muda perlu memahami bahawa tanggungjawab suami isteri bukan suatu permainan.

“Berkahwin muda tidak sewajarnya membudaya dalam masyarakat kerana hasrat kerajaan untuk membentuk masyarakat berilmu, mungkin tidak akan tercapai jika masih ada remaja yang tercicir daripada alam persekolahan dan bergantung hidup semata-mata kepada perkahwinan,” jelasnya yang fasih berbahasa Melayu.

Pengadil pertandingan, Che Abdullah Che Ya, berpendapat budaya berkahwin muda menjadi budaya masyarakat masa kini kerana kebimbangan ibu bapa terhadap gejala sosial sehingga mendorong mereka merelakan anak berkahwin pada usia muda daripada terjerumus ke dalam lembah maksiat.

“Budaya ini sama seperti zaman pramerdeka, apabila zaman bujang ditamatkan seawal usia 14 tahun bagi wanita dan 18 tahun bagi lelaki dan perkara lumrah di kalangan semua kaum. Selepas merdeka, anak muda berlumba-lumba memantapkan ekonomi dan pendidikan.

“Lalu berkahwin lewat bukan lagi perkara memalukan, tetapi pada era globalisasi ini, kahwin muda kembali sebagai gaya hidup dan dibuktikan melalui Kajian Hubungan Etnik oleh sekumpulan pelajar tahun dua Universiti Sains Malaysia (USM),” ujarnya.

Kajian itu mendedahkan pergaulan bebas yang semakin berleluasa dikenal pasti sebagai faktor pemangkin kepada budaya kahwin muda dan dianggap sebagai jalan penyelesaian pasangan terlanjur demi menyelamatkan maruah keluarga.

“Kajian itu menunjukkan perkahwinan membabitkan pasangan berusia bawah 20 tahun semakin meningkat khususnya di kalangan orang Melayu,” katanya

Friday, October 16, 2009

Syokkahwin.com rujukan bakal pengantin

KELUARGA

ARKIB : 14/10/2009
Syokkahwin.com rujukan bakal pengantin

Oleh MERAN ABU BAKAR



Faisal Mohd Zabidy menunjukkan buku yang ditulisnya.

--------------------------------------------------------------------------------



HASRAT bagi memperoleh pendapatan sampingan yang lumayan mendorong Faisal Mohd. Zabidy menghasilkan sebuah portal yang tidak pernah difikirkan oleh orang lain.

Pengurus Pembangunan Perniagaan di sebuah syarikat korporat terkemuka di tanah air ini pernah mencuba menjalankan perniagaan pemasaran pelbagai peringkat (MLM), menjual produk melalui talian dan sebagainya.

Namun semua cara perniagaan tersebut tidak memberikan pulangan yang memberangsangkan.

Tidak berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan, beliau mencuba pula cara lain walaupun masih belum pasti akan kejayaannya.

''Saya dapati terdapat satu ruang mengenai portal perkahwinan yang masih belum dipelopori di pasaran dan tidak dieksploitasi,'' ujar Faisal yang ditemui baru-baru ini.

Memilih untuk membuat portal mengenai persiapan perkahwinan daripada A hingga Z, Faisal menamakan portal yang ditubuhkannya pada tahun 2006 ini sebagai syokkahwin.com.

Menurut pemegang Ijazah Perakaunan daripada London School of Economics ini, portal tersebut unik kerana ia bukan sahaja mengisi sebarang maklumat perkahwinan tetapi juga mengenai gosip terkini artis-artis tempatan dan luar negara.

''Fokus saya pada ketika itu ialah bagi mencari satu jenis perniagaan yang tidak mengambil masa lama tetapi mampu memberikan keuntungan lumayan.

''Banyak buku motivasi yang saya baca bagi menambah pengetahuan dan mendapat idea. Daripada situ muncul idea untuk berniaga portal perkahwinan ini yang tidak ada banyak saingan.

"Daripada segi pemasaran pula, saya menimba ilmu daripada penulis Amerika Syarikat, Brian Tracy.

''Sebenarnya portal laman perkahwinan ini boleh diperkembangkan. Dengan adanya portal ini saya bukan sahaja mendapat pendapatan sampingan tetapi dapat menolong bakal pengantin dalam menguruskan majlis perkahwinan mereka,'' katanya.

Tambah Ketua Pegawai Eksekutif dan pemilik syokkahwin.com ini lagi, ramai bakal pengantin mempunyai banyak pilihan dalam mengadakan majlis perkahwinan mereka seperti hendak memilih lokasi, pelamin, baju pengantin, jurusolek, membuat hantaran, jurugambar, katering dan sebagainya.

Keliru


''Terlalu banyak pilihan membuatkan mereka keliru sehingga tidak tahu mana yang hendak dipilih dan bersesuaian dengan bajet mereka. Jadi melalui portal ini, saya membantu mereka membuat kajian dan memberi cadangan kepada mereka siapa yang sesuai mengikut perbelanjaan mereka.

''Kita sedia maklum, bakal pengantin memerlukan banyak wang dan mereka bimbang akan kekurangan wang untuk majlis. Pun begitu, mereka mahukan majlis perkahwinan mereka seperti impian yang telah dirancang lebih awal.

"Jadi dengan adanya portal ini, saya membuat pengurusan kewangan bagaimana bakal pengantin boleh berjimat dan dalam masa sama majlis perkahwinan mereka nampak menarik dan menggembirakan mereka.

''Bagi saya, industri perkahwinan ini sentiasa berkembang. Walaupun ekonomi merudum, harga barangan meningkat tinggi, hantaran tinggi dan sebagainya namun orang tetap juga berkahwin. Jadi di sinilah peranan syokkahwin.com dapat membantu bakal pengantin.

''Umpamanya dengan bajet serendah RM25,000, syokkahwin.com dapat membantu pasangan pengantin menguruskan perbelanjaan mereka seperti hantaran sebanyak RM8,888, kad kahwin, katering, jurugambar, pelamin, barangan hantaran dan cenderahati untuk tetamu.

''Setakat ini saya telah membantu lebih 100 pasangan pengantin di seluruh Malaysia dan menjalin hubungan yang baik dengan ramai pakar perunding perkahwinan tempatan terkenal,'' kata Faisal.

Katanya, bayaran yang dikenakan ke atas syarikat perunding perkahwinan yang mengiklankan produk mereka pada syokkahwin.com yang amat berpatutan iaitu antara serendah RM80 sehingga RM1,000 bergantung kepada saiz iklan.

Menurut bapa kepada seorang anak lelaki berusia lima bulan, Ian Rafique, pengiktirafan daripada pengusaha dan pakar perkahwinan memberikan kepuasan kepadanya apatah lagi portalnya terpilih sebagai media rasmi bagi pameran pengantin di MidValley selama dua tahun berurut-turut, iaitu pada tahun 2008 dan 2009 .

''Saya menyertai peraduan Gerbang Perkahwinan ini pun kerana ingin membina jenama syokkahwin.com agar dikenali ramai,'' katanya yang menjadikan perniagaan portal perkahwinan ini sebagai hobi.

Dalam kesibukannya, Faisal juga berjaya menghasilkan sebuah buku berjudul Rahsia Selebriti Berkahwin pada Bajet RM25,000.

Setakat ini, buku yang dijual pada harga RM24.90 ini telah pun terjual sebanyak 2,000 naskhah dan menjadi panduan kepada bakal-bakal pengantin yang inginkan majlis perkahwinan mereka seperti majlis perkahwinan artis.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut boleh layari laman web www. syokkahwin.com.

Thursday, October 15, 2009

Busana Muslimah bekerjaya

Busana Muslimah bekerjaya
Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my

Wanita seharusnya ada falsafah tersendiri dalam mematuhi lunas Islam ketika bergaya

HARI ini, semakin ramai wanita menyertai sektor pekerjaan dan jumlah mereka yang menyandang jawatan tinggi, khususnya pada peringkat pengurusan serta profesional juga kian meningkat.

Sebagai individu yang mempunyai kerjaya mantap, mereka seharusnya perlu membina imej masing-masing dan sentiasa memastikan diri kemas bergaya apabila kaki melangkah ke pejabat atau ke tempat kerja. Ini kerana cara wanita menampilkan diri ketika bekerja dikatakan, mempunyai fungsinya sendiri dalam menentukan sejauh mana keupayaan sebenar mereka memikul tanggungjawab yang diberikan.



Seorang wanita yang menyandang jawatan tinggi misalnya, akan kelihatan lebih berwibawa jika dia memakai pakaian yang sesuai dengan tugasnya kerana pakaian dan cara berpakaian adalah suatu tambahan untuk membantu menyerlahkan kewibawaan seseorang wanita bekerja, khususnya yang menyandang jawatan tinggi atau pun mempunyai kedudukan.

Jika mengimbas kembali sekitar 1970-an, dunia fesyen menyaksikan wanita Barat yang bekerja senang sekali mengenakan jaket, blaus kolar tinggi dan skirt sebagai pakaian yang paling kerap digayakan ke pejabat. Fesyen seperti itu seolah-olah menggambarkan wanita bekerja mahu dirinya dipandang sama dan setanding dengan keupayaan pekerja lelaki.

Ketika itu jumlah wanita bekerja memang tidak ramai. Bagaimanapun, perubahan dalam dunia pekerjaan berikutan peningkatan jumlah wanita bekerja turut memberi kesan tersendiri dalam fesyen yang dipakai.






Hakikatnya, wanita yang bekerja adalah penggerak utama dunia fesyen. Golongan itu sentiasa memberi perhatian terhadap penampilan diri masing-masing kerana selain kecekapan dan kebolehan bekerja, kerjaya juga mengutamakan gaya dan personaliti.

Bagaimanapun, bagi wanita Islam berkerjaya, dalam memenuhi dan mencari-cari penampilan fesyen yang bersesuaian, mereka seharusnya ada falsafah tersendiri dan sewajarnya dijadikan panduan.

Perunding Imej wanita Muslimah dan Pengarah Atim-Agoy Boutique, Hamadah Datuk Ghazali, berkata wanita berkerjaya yang bertudung tidak salah bergaya ke tempat kerja, malah ia satu keperluan bagi memperlihatkan keindahan dalam Islam apabila berpakaian.

Bagaimanapun, katanya prinsip kesederhanaan seharusnya dijadikan panduan untuk melahirkan penampilan diingini, di samping mengambil kira kesesuaian pakaian itu sendiri yang semestinya mengikut syariat Islam dan sudah ditentukan serta suasana sekitar.



“Tidak kira apa yang kita lakukan, ia perlulah kelihatan sempurna. Begitu juga apabila berpakaian ke tempat kerja, sebaik-baiknya perlulah menonjolkan gaya yang bersesuaian dan kena pada tempatnya. Lagipun, tidak ada sebab wanita Muslimah menjadi tidak cantik semata-mata kerana bertudung.

“Wanita Islam tetap hebat dan ada martabat tersendiri tanpa perlu mendedahkan apa yang tidak sewajarnya. Selain berpakaian sederhana, kesopanan harus dititikberatkan, manakala keanggunan pakaian juga perlu diambil kira. Ini bermakna, untuk kelihatan anggun dan mendapat keredaan Tuhan, kedua-dua itu hendaklah berjalan seiring,” katanya.

Hamadah turut menegaskan, menutup aurat bukan bermakna seseorang Muslim itu akan kelihatan suram, tidak punya cita rasa atau memburukkan wajah sebaliknya jika pandai mengenakan pelbagai gaya, mereka tetap terserlah.

Katanya, imej bukanlah segala-galanya, tetapi tanpa imej, tidak akan wujud sesuatu yang bernilai pada diri seseorang itu. Justeru, apa yang penting seseorang itu harus memahami dan seterusnya menghayati konsep pemakaian pakaian mengikut lunas Islam.

“Pengetahuan asas dalam berpakaian adalah penting dan ini tidak terkecuali dalam aturan bagi pemakaian wanita Muslimah yang bekerja. Perlu juga diingatkan bahawa dengan bertudung, seseorang wanita Muslim bukan saja dapat menutup segala kekurangan mereka, tetapi juga dapat menambah kejelitaan kepada mereka sedia jelita. Saya juga percaya, dengan sedikit kreativiti, keanggunan akan menyerlah setiap kali anda pergi ke tempat kerja dan berjumpa atau berurusan dengan orang lain,” katanya.

Berkongsi mengenai fesyen dan gaya pakaian sesuai untuk wanita bertudung yang berkerjaya, Hamadah yang juga pengasas Atim-Agoy Boutique dan banyak mengetengahkan koleksi fesyen busana khusus untuk wanita Muslimah berkerjaya, berkata kebanyakan wanita menggemari baju kurung kerana ia kelihatan sopan dan sesuai untuk ke pejabat. Namun, tidak kurang juga yang memilih fesyen pakaian Barat untuk ke pejabat.

Katanya, sama ada wanita berusia mahupun anak muda boleh memilih apa saja gaya mengikut keselesaan masing-masing seperti baju kurung, blaus dan jaket yang digandingkan bersama celana panjang atau sarung serta gaun labuh potongan kontemporari.

“Paling penting, fesyen kualiti pemakaian mestilah setaraf dengan gaya korporat. Misalnya, jika memakai baju kurung dan ingin menampakkan gaya profesional atau korporat, ia boleh digandingkan dengan jaket labuh separas atau pun melepasi paras baju kurung dipakai. Barulah nampak lebih anggun. Jangan sekali-kali menggayakan baju kurung dengan jaket pendek kerana gandingan seperti itu tidak menampakkan gaya profesional.

“Selain itu blaus labuh gaya potongan jaket labuh juga menarik digayakan dengan sarung. Anak muda juga menarik menggayakan jaket potongan pendek, tetapi pastikan ia melepasi bawah paras punggung kerana ia lebih menepati untuk menurut syariat Islam,” katanya.

Hamadah berkata, untuk tampil lebih bergaya sebaik-baiknya pilih fabrik yang bercorak minimum atau polos. Meskipun kain berkenaan langsung tidak bercorak, ia tetap menampilkan kehebatan si pemakai dengan syarat, penggunaan tudung yang bersesuaian perlu diberikan keutamaan.

Mengenai pilihan warna pula, katanya, asalkan individu berkenaan tahu prinsip asas berpakaian dalam Islam, ia menjadikannya mudah memilih dan menyesuaikan warna yang digemari. Apatah lagi, pada masa kini wanita bertudung juga sudah berani memilih rona garang dan ceria. Pemilihan seperti itu, secara tidak langsung membantu menampilkan personaliti lebih tegas dan matang si pemakai.

INFO: Panduan untuk gaya lebih anggun bagi wanita kerjaya yang memilih gaya menutup aurat



Pakaian yang sesuai dipakai untuk wanita kerjaya tidak seharusnya melebihi tiga warna, tetapi dua warna adalah yang paling baik. Ingatlah, memakai pakaian melebihi tiga warna, kesannya adalah kurang.


Tekstil yang sesuai dipakai ke pejabat juga tidak boleh daripada jenis kain berkilat seperti satin atau sifon kerana jenis kain itu mengikut bentuk badan. Lebih baik jika memilih fabrik yang memberi keselesaan


Pakaian tradisional seperti baju kurung hendaklah dengan kombinasi warna yang sesuai. Pakaian ini menjadi pilihan yang baik untuk mereka yang enggan memakai pakaian Barat.


Pilihan pakaian tidak seharusnya terikat dengan fesyen tertentu atau warna tertentu saja kerana ia akan membuat dunia fesyen untuk ke pejabat menjadi hambar dan tidak mendatangkan semangat ketika bekerja.

* Warna semula jadi akan membuat anda tampak lebih anggun. Pilihan yang sesuai antaranya ialah krim, hitam, coklat, kelabu ataupun biru tua.


Sebaik-baiknya hindari motif flora untuk busana muslim ke pejabat. Motif polos dengan warna tegas akan memberikan kesan lebih profesional dan juga mudah untuk di suai padan.


Fesyen turut membabitkan bukan saja pakaian tetapi juga pemilihan aksesori yang tepat dan warna kasut yang sesuai serta gaya ikatan tudung dan gaya mengemaskannya..


Untuk penutup kepala, sebaiknya hindari motif yang serabut. Tetapi tidak harus yang polos kerana anda tetap memerlukan variasi agar tidak kelihatan membosankan. Sebagai pilihan pilih saja yang ada sedikit motif di tepinya.


Untuk tudung pilih warna yang lembut dan hindari warna putih polos kerana akan membuatkan anda seperti memakai seragam sekolah di samping cepat kotor.